Wednesday, 16 July 2014

Kebaikan Lewatkan Sahur

Daripada Zaid ibn Tsabit r.a beliau berkata: “kami makan sahur bersama Rasulullah s.a.w, kemudian kami berdiri untuk mendirikan solat (subuh). Ada seorang daripada kami bertanya kepada baginda: Berapa jarak antara keduanya (sahur dan solat subuh)?” Beliau menjawab; kira-kira sama dengan membaca lima puluh ayat al-Quran. (muttafaqun alaih)
Setiap kata-kata nabi s.a.w penuh bermakna dan pelbagai maksud pula ( جوامع الكلام). Meneliti jumlah ayat yang disebutkan (dalam lingkungan beberapa minit) ulama’ membincangkan bahawa ia menunjukkan waktu masih dibolehkan bersahur. Jika ada beranggapan bahawa ia adalah waktu (Imsak) dimana perlu untuk berhenti bersahur maka ia adalah satu pandangan yang perlu dilihat semula kerana disebutkan dalam Al-Quran sendiri:
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Ayat ini merujuk bahawa waktu berhenti sahur adalah ketika azan berkumandang. Adapun waktu imsak itu perlu dilihat sebagai waktu persediaan untuk solat subuh atau waktu ke’cederaan’jika terlewat bangun. Adapun permulaan sahur itu tidak disebutkan secara jelas tetapi apa yang difahami melalui hadis di atas adalah untuk kita melewatkan sahur sekadar sempat kita beribadah malam dan bersedia melaksanakan solat subuh.
Keberkatan waktu sahur itu tidaklah terbatas hanya dengan solat sunat sahaja. Ia juga merangkumi ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa malah cukup untuk kita manfaatkan waktu tersebut jika kita benar-benar tidak mampu untuk mendirikan solat sunat akibat keletihan atau lain-lain. Namun bagi mereka yang merindui ber’interaksi’ dengan Penciptanya maka gunalah waktu tersebut dengan sebaiknya!
Galakan untuk melakukan perkara ini (berdoa) ada disebutkan dalam hadis nabi s.a.w:
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment